Tuesday, December 8, 2009

Selamat Pagi Cikgu

selamat pagi cikgu
cuti-cuti ni tak ke mana-mana ke
tak balik kampung ke
rilekslah ya?
sekolah kan cuti panjang...

cuti tak cuti sama sahaja
adik kakak pakcik makcik
ada guru yang bertugas di pejabat sekolah
bantu kerani taip itu dan ini
urus pertukaran dan pindah masuk
ada guru yang bermukim di makmal komputer
sediakan buku pengurusan, perancangan dan jadual
ada guru yang bertungkus-lumus di bilik boss
mengurus buku-buku teks untuk sesi tahun depan
ada guru yang berada di koperasi sekolah
menyusun stok alatulis dan buku latihan

kerja guru tak pernah habis
tak macam yang adik kakak bayangkan
tak seperti yang pakcik makcik jangkakan
ada guru yang dipanggil menghadiri mesyuarat
seminar profesional dan juga kursus-kursus
dekat jauh tak menjadi soal
arahan mesti dipatuhi tanpa gagal
demi memartabatkan bidang pendidikan
usah di tanya apa ganjarannya nanti
kerana ini memang tanggungjawab guru
dedikasi dan teguh memegang prinsip

selamat pagi cikgu
dikala ramai yang bersantai bersama keluarga
masih ada guru pagi-pagi lagi di sekolah
mengajar di kelas tambahan & tuisyen
ada yang berbayar, ada yang 'free of charge'
tidak lain untuk meningkatkan pencapaian
dan kemahiran anak didik tersayang
meski kekadang tak pernah dipandang
atau sekadar melafaz 'terima kasih cikgu'
kerana mengajar anak saya selama ini.

-adizack ms
6.17pm
8 disember, 2009

Sunday, December 6, 2009

Kenangan Buat Ummi

mataku menyorot jejakmu
dari bening subuh
hingga ke senja merah
tiba-tiba pagi telah kehilangan sinarnya
kebekuan menggigit suara beburung
resah kematian angin
& esok kian menjauh;
lalu hatiku pasrah menyusur
dengus nafas lelahmu
untuk terakhir kalinya

hanya doa ku panjatkan
semoga rohmu dicucuri rahmatNya.

-adizack ms
jan 17, 1986
alor lintang, besut.
(Ummi: Kau pergi sedang aku masih dahagakan kasihmu.)

Mengisi Perjalanan

di pundak ini
ada sekarung mimpi
yang harusku pikul
meredah belantara musim
mengharung lautan keringat
seakan tiada pernah berakhir
segalanya terhimpun di sini
memenuhi ruang harap yang sempit
keperitan & kepedihan itu
telah menjadi sebahagian dari diri
sedang lurah kehidupan ini
terasa semakin payah untuk dipanjat
bersatu dalam dengusan nafas
lelah menghambat waktu

betapa pun pekatnya denai malam
aku harus terus melangkah
mendepani cabaran getir
mengoyak kalendar perjalanan
satu persatu
kerana kepastian itu harusku cari
untuk menguraikan akar persoalan
yang erat memaut degup jantung
memagut jejak seorang musafir.

-adizack ms
jan 18, 1985
smk tengku mahmud, besut.
(Ummi: Hidup ini sepi tanpamu.)

Saturday, December 5, 2009

Memori i

telah terhimpun sisa-sisa kenangan
dalam ruang pengap
hitam kelam
tidak terdaya lagi rasanya
hendakku lakarkan perasaan
di kanvas lusuh
berdebu
masih belum tersiapkan
sehingga kini

sebatang berus usang
dan beberapa tiub cat minyak
masih berselerak di pinggir meja
tapi jejari ini seringkali
terasa kebas & gementar
untuk melukis lagi.

-adizack ms
jan 17, 1985

Kematian

dan seperti selalu
senja kembali mengundang
segala resah yang terhimpun
di ujung horizon
kembali bertamu
di pelabuhan rasa
menyentuh
luka

dan seperti selalu
garis kasar di wajah layu
kembali mengheret ingatan
jauh ke dasar usia
memukat kembali
segala kengerian
di laut kehampaan
yang berguncah
keras

dan seperti selalu
aku kembali berjalan
menyusur pesisir pantai ini
meniti rahsia dari
sebuah kematian.

-adizack ms
jan. 30, 1985
alor lintang

Sehelai Makna

kupintal cebis-cebis kenangan
dengan jejarum rindu
yang rapuh & berkarat
dengan lembar-lembar urat rambutmu
yang jatuh ke sisi
entah dari ruang mana
kembali menyatukan seguris rasa
segaris pengalaman
menjadi sebuah kanvas
yang ku warnakan dengan
sehelai makna
& sebuah pengertian
dari sekelumit sepi
& sejalur resah.

-adizack ms
dis 12

Entah Mengapa

jurai-jurai hujan
tidak pernah putus
seperti juga mengalirnya
airmata darah di selokan hati
telah berabad ia berarus
entah dari mana dan ke mana
keras dan ganas
keras dan ganas
semakin deras melarikan keyakinan
dan harapan ke bawah jurang
semakin aku jadi tak mengerti
untuk apa aku terus berdiri
di tebing serapuh ini
sedang bila-bila saja ia bakal runtuh
dan menenggelamkan aku
untuk apa aku terus menanti di sini
menghitung usia yang berlalu bersama arus
dan menghimpun lelumpur rindu yang pekat
entah mengapa hati ini sering dipacu harap
sedang segalanya cumalah sebuah mimpi.

-adizack ms
dis. 84
alor lintang

Di Bawah Rambulan Malam Disember

sekadar sebuah teratak kecil
yang terdiri dengan kudrat ini
itu sahaja yang bisaku janjikan
di sana akan ku semai benih-benih kasih
selagi kau masih setia menyiraminya
di sana akan ku hamparkan sebidang tikar
yang teranyam dari jalinan perasaan
& kemesraan yang mendalam
selagi kau masih tak jemu
berbaring di atasnya

sekadar sebuah cinta suci
yang lahir dari kejernihan kolam hati
itu sahaja yang bisa ku serahkan
biar pun ia menuntut
selaksa pengorbanan

sekali & buat selamanya
ku berjanji padamu di bawah rambulan malam disember
akan berpadu jiwa menyanyikan lagu kehidupan
dalam irama sekeras mana jua pun
selagi masih bisa ku pertahankan.

-adizack ms
dis. 84

Tak Terdaya Ku Kejar Lagi

di penghujung musim yang meresahkan ini
bunga-bunga berguguran tanpa sebab
dan angin kering mendesah keras
menerbangkan dedebu halus
di lorong sempit yang sunyi & hanyir
engkau tiba-tiba hadir di hadapanku
pertama kali bersentuh mata tanpa bicara
dan aku pun tau-tau bangkit dengan kekuatan
menjalin rasa yang teramat rahsia
ke atas selembar perasaan

di penghujung musim yang meresahkan ini
ilalang pun kembali menguning
dan unggas melagukan simfoni rindu
bila kabut ungu hilang dari sisi
tapi tiba-tiba engkau pun turut hilang
entah ke ruang & selokan mana
tak terdaya ku kejar lagi!

-adizack ms
nov 26

Barangkali

barangkali
kita tidak ditemukan di sini
untuk saling menyemai rasa
& saling menganyam rindu
kerana mungkin ia lebih baik bagi kita
sedang kita sendiri tidak pernah mau mengerti
bagaimana mungkin kita harus menerima
kenyataan ini?

-adizack ms
nov. 26

Bila Sesekali

bila sesekali menyusuri lurah ini
terasa Kau berada dekat di sisi
lalu hidup ini menjadi semakin ngeri
lelah mencari titik nokhtah
buat sebuah keterlanjuran

bila sesekali merenung dalam diri
terasa sesalan meronta di rahang dada
mengingatkan payahnya membangunkan
sebuah monumen kecintaan abadi
kerana kealpaan sering melewati
seiring tiap langkah perjalanan

bila sesekali menyusuri lurah ini
hanya sinar kelkatu malam
menerangi kolong gelita
dalam kembara getir
mencari tulus
cintaMu.

-adizack ms
nov. 25

Sebuah Catatan Di Ujung Pertemuan

sinar matamu yang jernih
bisa membutakan matahati; & sekaligus
menerangi malam-malam sepi
seorang lelaki

kutahu pasti rindu yang tak bermusim
sarat terhimpun di alismu; memenuhi
erti sebuah malu yang tak bisa dilepasi
batasannya

dan aku sendiri
tidak bisa menafsirkan
bicara rahsia yang kau bisikan
pun pengertian apakah yang terbias
di ulas senyum yang mekar itu

bantulah aku
untuk mengenal dirimu sepenuhnya
kerana aku tak rela membiarkan
kemesraan yang sedia teranyam
hilang di celah angin petang
di ujung pertemuan ini.

-adizack ms
nov. 9

Nota Seorang Kekasih

berikanku
setitis airmata darah
yang lerai waktu ku tiada di sisi
sebagai bukti kesetiaan

akan ku hadiahkan mu
segumpal daging hanyir & segelas nanah
dari luka sepanjang kembara
penuh duri dan ranjau
betapa pun getirnya
wajahmu tak pernah lepas dari ingatan
& sekuntum mawar pemberianmu masih ku simpan
meski kini lusuh & kering tak bermaya

berikanku
setitis airmata darah
kerana itu lebih bererti
dari dakapan lembut yang kehilangan rasa
penuh kepalsuan & kebekuan
waktu ku mampir
ke daerahmu.

-adizack ms
nov 22

Di Kejauhan Malam

di kejauhan malam
yang terdengar syahdu
hanya suara cengkerik
berlagumemecah hening
menutup tirai ingatan

di kejauhan malam
yang terdengar sayu
hanya kelohan sang unggas
meronta dari belenggu
kegelapan yang menyiksa

di kejauhan malam
yang terdengar sayup
hanya rintihan seorang aku
amat sukar mentafsirkan
rahsia kebekuan

di kejauhan malam
yang tinggal cuma
sebuah persetiaan
di perdu kasih

yang tinggal cuma
secalit ketulusan
di pangkal hati.

-adizack ms
sg mengkuang

Friday, December 4, 2009

Hutan Batu Ini

hutan batu ini
menyimpan seribu duka nestapa
warganya yang dihimpit sengsara
masing-masing tidak saling mengenal
malah tak punya waktu untuk bertanya khabar
tiap saat begitu berharga
untuk dilepaskan begitu sahaja
kerana ia adalah denting syiling
buat menghidupi anak isteri

aku menjadi asing
di kotaraya batu ini
di kiri kanan yang ku lihat
bukanlah wajah-wajah yang ku kenal
malah bahasa mereka pun tidak ku mengerti
menghuni setiap ceruk dan lorong
mengejar yang ku tak pasti

gerak kaki harus sepantas monorel
menginjak sisa sampah di tepi jalan
bau hamis menyumbat di mana-mana
sesak dan menyesakkan
berbeda sekali dalam pencakar langit
yang megah berdiri di pusat kota
lambang kemajuan dan pembangunan
terpisah manusia antara dua darjat
siang dan malam menjadi satu
dosa pahala payah diperhitung

di hutan batu ini
aku menjadi lemas dan terkapai
mencari diri ku sendiri

-adizack ms
2 dis. 2009, 3.15am
1111-city villa hotel, kl.

Wednesday, November 25, 2009

Puisi Sepi Seorang Lelaki

di pepasir pantai ingatan
dia tunduk dan merasakan
kehangatan yang kembali menjadi dingin
sebeku empat pelusuk ruang hatinya
lelah mengejar detik waktu
dalam kolong kesepian

dia tidak lagi merasa gusar
melihat dedaun hijau berguguran
sebelum tiba musimnya
kerana itu adalah ketentuanNya
malah semakin dia menjadi dewasa dan matang
menilai hidup dari rentetan pengalaman getir

senja, ombak & pepohonan tua
adalah mimpi ngeri yang telah terkubur
dalam hatinya

pelangi, suria & langit membiru
adalah keindahan yang terhampar
dalam sedetik waktu
& hilang tanpa disedari
bila takdir menjemput

buat kesekian kalinya
dia bertanya pada diri
siapalah yang lebih mengerti
tentang sepi, resah & kepedihan
hati seorang lelaki?

-adizack ms

Kepastian

bening subuh
menitipkan warkah bisu
selembar perasaan yang tersirat
menyimpulkan secalit makna untukku raih
dari sekeping rindu yang semakin membusar di mata
malam yang telah berlalu
mati dalam keterasingan ini

seakan termanggu aku dibirai waktu
pagi yang tiba melabuhkan ketenangan
menutup garis horizon pekat
mewarnai perjalanan usia
sedetik nostalgia silam
pengap ke perut
lautan kasihmu.

-adizack ms

Sedang Malam Merangkak Tua

sedang malam merangkak tua
purnama hilang dibalik tirai kelam
berdiri seorang aku menatap wajah lesu
sang ratu malam yang kian pucat
terasa ada yang meresahkan

sedang malam merangkak tua
ranjang tidurku kian berbunga
di hujung basah lidah zikrullah
lantas ku dakap dedaun rindu
yang luruh ke sisi.

-adizack ms

Sunday, November 22, 2009

Nota Seorang Pengembara (ii)

maafkan aku
kerana berlalu dari daerah ini
atas ketentuan yang tak bisa ku ubah
sedang kuntuman kasih mekar mengharum
melata memanjat tembok jiwa
antara kita
lalu jadilah aku seorang pengembara
mencari hakikat dari sebuah ketentuan
suatu waktu ku kan kembali
mengutip ranum buah
dari pohon yang
telah ku semai.

-adizack ms
julai 16 1986

Nota Seorang Pengembara (i)

i.
maafkan aku
kerana menyangkutkan rindu
di birai jendela kamarmu
sedang tiap malam kau di situ
menghela nafas tenang
sambil merenung bulan mengambang
sedang aku kian jauh
hilang di sebalik horizon
mengheret kenangan yang tersisa
sekadar membasuh dukalara
seorang pengembara

ii.
maafkan aku
kerana menyangkutkan resah
di antara ulas bibir lunakmu
sedang kata-kata adalah lukisan
yang warnanya lahir dari kejernihan hati
meski terkadang terlalu rapuh
luruh dari pohon kesetiaan
di kunyah penantian
yang panjang.

-adizack ms
julai 14, 1986
tanjung kuala

Catatan Tentang Resah dan Rindu

resah
memagari tiap penjuru alam
memukat damai tasik rasa
menerjah
menerjah
ruang sepi

rindu
bergetar di hujung sarafku
lelah menyusuri denai malam
mencengkam
mencengkam
kebekuan suasana

resah dan rindu
bersatu di puncak rasa
membenihkan sepohon harapan
di penghujung sebuah penantian.

-adizack ms
12 dis. 1985
machang

Senandung Kasih

salam pertama pertemuan mesra
bertaut rindu di penjuru mata
sedang hati melonjak gelora
menyusun bicara seribu makna
camar putih melayah di udara
menebarkan sayap sebuah cinta
mengambus sepi yang bermukim di jiwa
melenakan tidurku diranjang duka
senandung kasih sayup bergema
menyelimuti dingin pertemuan pertama
seribu harapan telah diseka
di perdu hidup mimpi berbunga.

-adizack ms
11 mac 1986

Rahsia Malam

andainya bahasamu manis dan indah
pasti aku tidak membenci kehadiranmu
menutup rindu yang berlabuh
di anyaman rasa
tapi kau seakan pemalu
seperti seorang gadis yang pertama
menjalin mesra di ujong sinar mata
dan terkadang terlalu rakus
seperti badai di tengah lautan
merenggut mimpi yang berbunga di ranjang
hingga aku tak kuasa mengangkat muka
untuk sekadar menatap wajah hitammu
yang penuh dengan kengerian

kiranya bahasamu mesra dan lunak
pasti aku tidak akan resah menanti
saat kau tercungap menghambat waktu
tapi kau terlalu kejam rupanya
menikamku dalam kelam yang buta
hingga bersungai darah hanyir
dari leluka yang tersiat
oleh belati rahsiamu

malam
andainya kau mengurniakanku segugus mimpi
dan menyelimuti tubuh dinginku
dengan kehangatan kasihmu
pastilah aku paling setia
menanti kehadiranmu.

-adizack ms
april 2, 1986
sungai mengkuang

Tuesday, November 17, 2009

Kehadiran

malam tenang
beralun melodi sayu
di kejauhan yang mencengkam
antara rindu dan sepiku
tersisip dedaunan kasih
menggetar lalu disapa bayu

bulan mengambang
bening mengisi malam dingin
di kejauhan yang menyiksa
antara keyakinan dan harapanku
tersisip resah dan ragu
menggoyah mimpi syahdu

malam tenang
bulan mengambang
di kejauhan yang meronta
antara sendu dan airmataku
tersisip seulas gelisah
mengharap kehadiranmu.

-adizack ms
sg. mengkuang, jun 23 1986

Marhaen i

i.
getar jantungku
menyelongkar rahsia kepedihan
di kolam matamu
jernih & membiru
dingin membeku harapan
sedang riak ombak kian rakus
menggelepar di rahang dada

ii.
resah debar nafasku
menyusur jejak rapuh di ujong horizon
sedang kau kian menghilang
di antara ilalang perang

kalau mungkin
aku ingin menyelam jauh
di tasik hatimu yang tenang
sebelum hutan perasaan ini
hangus terbakar oleh hangatnya
sinar matamu!

-adizack ms
mpki, julai 23 1986

Wednesday, November 11, 2009

Belasungkawa Buat Seorang Sahabat (Buat Allahyarham Mahisham Mahmood)

'sahabat'
ucap pertamamu
pabila mata bertaut
hingga kini masih ku ingat
tak pernah sekali kau lupa
kerana mulia jiwamu terpancar
dari kejernihan kolam hati
kau seorang sahabat, abang & saudara
dunia akhirat

lafaz bicara, senyum tawa & gurauanmu
hingga kini masih menjadi mimpi manis
bila takdir Illahi tiba-tiba menjemputmu
tersungkur aku di lantai pasrah
menerima perkhabaran duka
bagai tersiat jiwa sendu bermukim
meneguk setitis keredhaan yang pahit
mengalir menyusuri lurah pipi

belum puas lagi ku
berteman denganmu sahabat
meski sembilan musim kita bersama
ku rindui panggilan darimu bertanya khabar
ku rindui lembut suaramu memberi nasihat
ku rindui kemanisan saat kita bersama
sekali-sekala berkumpul di kedai kopi
sambil berbincang masalah kehidupan

sahabat
dengan dorongan & iltizammu
sama-sama kita redah belantara ilmu
dan mengecap nikmat kejayaan yang kita tuai
namun kini tinggallah aku sendiri
meranduk arus getir bersama kekuatan
yang telah kau wasiatkan

semoga rohmu sahabat
dicucuri rahmat Allah
berada bersama mereka
yang mendapat syafaat
selamat jalan sahabatku yang mulia hatinya
selamat jalan abangku yang tabah jiwanya
selamat jalan saudaraku yang sentiasa
berada dekat dihati.

-adizack ms

Kembali ke Fitrah Azali

kerikil di jalanan
adalah bilah-bilah usia yang tersia
dalam perjalanan menuju destinasi abadi
kau kan melihatnya tanpa bisa berbuat apa-apa
tak juga mampu kau mengutipnya
biarkanlah ia di sana
tergeletak pedih diinjak nafsu serakah
sedang cebis waktu yang masih tersisa
setia menanti lafaz suci dari basah bibirmu
menutur kalimat kudus di ujong senja
dan kembali kepada fitrah azali.

-adizack ms

Pabila Zikir Terasa Hambar

pabila zikirmu terasa hambar
dan seuntai doa tersangkut di awan
bukanlah bermakna Dia tak mengasihi
bukan pula kerana Dia tak mendengar
keluhan dan rintihanmu
sebaliknya adalah kerana
perdu imanmu semakin merapuh
dalam cangkir taqwa yang pecah
jatuh bergelimpangan di lantai
di antara cebisan mawaddah
dan nur kasih yang semakin sirna.

-adizack ms

Monday, November 9, 2009

Hanya Ujian DariNya

banjir yang mampir
hanya setahun sekali
namun gelisah manusia
bagaikan tak berkesudahan
merintih pada hakikat
enggan menerima
ketentuan

di mana rasa syukur insan
setelah lama dikurniai rahmat Tuhan
sekali dicuba sudah kecundang
sering benar menyalahkan takdir
mengadu pada nasib diri
minta dibela simpati

sedang segala itu cubaan Tuhan
ujian buat iman dan amal
hari-hari yang cerah gemilang
pasti ada awan jelaganya
sekujur tubuh yang sihat pun
pasti ada sakitnya

usah biar gundah dan rawan itu
menjarah dan menggoyah taqwa
redha dan berserah pada maghfirahNya
kerana dariNya kita datang
dan kepadaNyalah
kita pasti kembali.

-adizack ms
2.03am

Thursday, October 15, 2009

Andai Esok Kita Tak Bertemu Lagi

teman
andai esok kita tak bertemu lagi
maafkanlah akan segala khilafku
selama kita bersenda jenaka
kerana esok nasib kita belum pasti
sedang hari ini masih belum tentu
dan kelmarin telah berlalu bersama
dosa dan pahala yang bakal
diperhitungkan!

-adizack ms

PadaMu Aku Kembali

rindu semakin menggelepar
& ruang malam bertambah kelam
beningnya menerpa kolong hati
betapa selama ini
aku semakin menjauh
& lalai menyebut namaMu

sejadah yang terbaring kaku
debunya gersang segersang lidahku

songkok yang tergantung lesu
menanti setia sebuah kesedaran

ampuni daku ya Allah
atas kealpaanku selama ini
padaMu aku kembali
mencari diriku
yang hilang.

-adizack ms

Tanpamu

dingin malam membeku
menutup rindu dalam kebekuan
melata di celahan akar perasaan
meronta di segenap penjuru
kamar sepi ini

tiada lagi sinaran mata tajammu
& mesra pertemuan yang berlalu dikunyah waktu
segalanya kian menjauh meninggalkanku sendiri
di pelabuhan kenangan

untuk kesekian kalinya
ku cuba pejamkan mata layu
sambil melakar mimpi rapuh
dalam sendu yang pecah
di rongga dada

keterasingan ini
menjemput kepedihan
bersimpuh disisi.

-adizack ms
sept. 16 1986
taman cempaka sari 5

Dalam Kerinduan

antara kita
kau dan aku
tersimpul sebuah ikatan
utuh & padu
mengikat kejujuran
dalam kesetiaan

antara kita
kau dan aku
kini terasing dalam liku hidup
lemas & menyesakkan
sedang kejauhan
menunda pertemuan

dalam kerinduan
kau dan aku
paling menyiksakan
sedang kata-kata & kemesraan
teramat payah untuk diraih
dalam kebekuan ruang waktu

antara kau & aku
kita masing-masing kian lelah mengejar
sisa ingatan yang bertebaran
& tenggelam hanyut dalam laut rindu
yang kian berguncah.

-adizack ms

Perempuan

i.
angin senja
mengutus salam luka
tanpa suara manja
seorang kekasih
----
kerana ia telah mati
dalam hatiku

dan yang tinggal
di pelabuhan usang ini
hanyalah sebuah bahtera
kian merapuh terdampar di pinggiran

ii.
di laut kehampaan
ombak masih menggelepar
mengunyah sendu & dukaku
sedang rongga dada kian sebak
menahan perasaan yang meronta

iii.
perempuan
lembut bicaramu menusuk
menghamparkan kepalsuan
lantas menikam jantungku
dengan belati cinta
dalam kelam
yang buta!

-adizack ms

Rindu Berlabuh

di ujong sinar matamu
telahku temui sejalur kesucian
dan kejernihan kolam hatimu
menyembunyikan seribu debar di kalbu
& tanpaku sedari
hangatnya telah membakar hangus
hutan perasaanku

lembut bicaramu mendesir
melenturkan tujuh musim sepiku
lalu menghamparkan pesona & angan
sedang ingatan silam kian rakus
mengunyah harapan di temulang waktu

izinkanku susuri pantai hatimu
buat mencari serpihan rasa
yang tersisa dari sejenak pertemuan
kerana tiba-tiba rindu berlabuh
di hati yang beku ini.

-adizack ms

Selama Engkau Adalah Engkau

selama engkau bernama perempuan
yang sabar dan setia menanti
laut rinduku tak pernah akan kering
kerana bayu lembut itu akan tetap bertiup
saban waktu menggelorakan ombak
di pantai rasa

selama engkau bernama perempuan
yang santun dan tak pernah meresahkan
api cintaku tak pernah akan padam
kerana angin lembut itu tetap bertiup
saban waktu menghangatkan bara
di teluk hati

selama engkau adalah engkau
aku tetap seorang aku
biar beribu abad
gersang memanjang.
-adizack ms

Thursday, September 24, 2009

Kewujudan

ruang kosong terisi
dengan selembar ceritera anak manusia
mencari hakikat kewujudan
diri dalam diri
segenap peristiwa menjadi wadah
jalinan pengertian yang dalam
akan akhirnya di sana
menemui Tuhan
Yang Maha Esa.

-adizack ms

Ramadhan

ramadhan tiba lagi
buat kesekian kalinya
menuntun hati-hati yang pasrah
mencari keredhaan yang hakiki
rebutlah peluang sementara ada
kerana belum pasti
engkau akan bertemu
ramadhan di tahun hadapan
wahai insan yang bersih hatinya
kembalilah pada fitrah
kerana kita adalah
khalifah di bumi
fana ini

-adizack ms

Keluhan Ayah

anak-anak masih tak mengerti
betapa besar kasih sayang ku curahkan buat mereka
relaku berkorban jiwa hanya kerana
mau melihat mereka sentiasa bahagia
sentiasa dalam kesejahteraan

terkadang hati kecil mudah saja dilukai
dengan sebaris kata-kata tajam
menusuk rongga hati
betapa mereka seolah tak menghargai
pengorbananku selama ini

namun hati ini
tak pernah menyimpan dendam
atas perilaku mereka selama ini
bukankah memaafkan itulah yang terbaik
meskipun mata ini sering dibasahi airmata
dan jiwa ini sebal dengan rasa terkilan

kata orang
anak-anak adalah harta yang paling berharga
memang ku akui kebenarannya
hanya sebait doa yang tak putus-putus
agar mereka sentiasa dirahmati Allah swt
di dunia dan akhirat.

-adizack ms

Syawal Terakhir

dalam kesyahduan ini
jauh akalfikirku melayang
mengimbau kenangan bersama arwah bonda
ketika menyambut syawalnya yang terakhir
yang tak sempat diraikannya

tiga hari terakhir ramadhan
meninggalkan ingatan kekal di hati
bonda telah menyahut panggilan Illahi
merenggut kebahagiaan di pinggir Ramadhan

bonda
semoga rohmu dicucuri rahmat
dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

-adizack ms

Wednesday, August 5, 2009

Keakraban

kau
adalah pantai yang landai
putih bersih tanpa secalit noda
sering menebarkan sekelumit harapan
lewat musim-musim sepi
dan ada waktunya
menjadi terlalu pemalu
mendengar desir ombak sayu
mengalun lagu rindu
dari kejauhan

aku
adalah laut yang tenang
menyusur lurah angin
menghamparkan bersit ombak ke pantai
dan ada tikanya
melupakan dirimu yang santun dan peramah
lalu menjadi ganas dan rakus
mengunyah memori

antara kau dan aku
teranyam sebuah jalinan rasa
abadi selamanya
di perdu pohon kasih.

-adizack ms

Setia

kesetiaan
adalah puncak keakraban
sekaligus mewarnai erti harap
di pintu ragu

tapi ada waktunya
ia bagai halilintar
membakar hangus hutan perasaan
bila terlalu alpa
dalam keterpesonaan kata.

-adizack ms
machang

Kekasih

i.
deru angin
menebarkan resah rindu
ke segenap pelusuk kamarku
sedang kini engkau semakin jauh
mencari jejak di hujung pelangi

ii
hanya kesetiaan yang masih kekal mengikat
dua hati yang bertaut satu
dalam rona cinta berliku

iii.
adakah kejujuran
menghulur salam di penjuru matamu
yang jernih berkaca
dan adakah keikhlasan
bersimpul di antara ulas senyum
menutup malam-malam sepi seorang kekasih?

-adizack ms
sg. mengkuang

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails