Saturday, December 31, 2011

Salam Buat 2012

Salam buat 2012
Adakah langitmu kan cerah
Secerah gemilang gumpalan awan memutih
Ataukah akan kau kandung sejuta duka dunia
Selama ini menabur hujan kebencian dan sengketa
Hingga bersungai darah dari pedih leluka zaman.

Salam buat 2012
Adakah mentarimu kan hangat
Sehangat gelora kasih insan menyulam benih akrab
Dengan jalinan helaian tikar takwa diwarnai iman
Ataukah akan kau renggut sejuta cinta yang melata
Selama ini telah tersisa dan terbuang tanpa dihargai
Hingga berlangir dusta dan nista ke lembah generasi.
-adizack ms
disember 31, 2011

Pernahkah Kau Rasakan?

pernahkah kau rasakan gelora itu
menusuk kolong hati dengan debar pertama
tak pernah berhenti berdenyut mengalir di urat dan nadimu
sehingga langkahmu goyah menggalas beban rasa tak terungkapkan

sungguh benarkah itu namanya sekilas nurani
hadir mendakap ruang kebekuan menggumpal sepi
tak pernah terhenti pada suatu titik di atas titian waktu
kerana nikmatnya walau hanya di angan seakan ternyata benar

pernahkah kau rasakan getaran itu
halus dentingnya bisa menggegar mimpi malammu
hingga berbunga sepohon hakikat berbuahkan kesedaran
bahawa segala kemanisan itu tak pernah akan kekal selamanya
dan kita pun kembali merenguk kenyataan dari cangkir hidup fana.
-adizack ms
disember 27, 2011

Lara dan Alpa diHati

laut kasihMu merentang luas
tak terdaya ku renangi
wadi rinduMu mengalir basah
tak terdaya ku jelajah
kudrat ini hanya
sekecil kuman
namun Kau
tak pernah meminta
lebih dari yang terdaya
cintaMu agung tanpa syarat
tidak pernah kering dan gersang
lalu, pantaskah aku merenguk rakus
madu kasih dan rinduMu
sedang lara dan alpa
sering menghuni hati.
-adizack ms
disember 25, 2011

MengasihiMU

mengasihiMU
memberikan nafas pada nyawaku
memberikan damai pada jasadku
memberikan rindu pada jantungku
dan memberikan cinta pada rohku...

mengasihiMU
puncak bahagia ranum jiwa
tenggelam diri di laut kecintaan
mengharap sekelumit maghfirah
dan inayahMU.
-adizack ms
21.12.2012 (12.16)

Sunday, December 18, 2011

Serawan Kekosongan

pabila
serawan kekosongan
menerpa ruang beku
dinding sekepal hati
ngilunya merayap
segenap akar diri
lumpuh sendi akalfikir
menjerut sisa nafas
di kerongkong usia.
-adizack ms
16 disember 2011 (11.20 mlm.)

Cinta Itu Bukan Milik KIta

sungguh cinta itu bukan milik kita
tapi adalah pinjaman dariNya yang memiliki segala
untuk kita mengecap sezarah nikmat mencintai dan dicintai
namun pantaskah kita terus menganyam duka dan kekecewaan
bila cinta yang menginap sementara itu telah hilang dari laman hati
sedang CINTA itu sebenarnya bukan milik kita?
-adizack ms
16 disember 2011

Mengenalimu

maaf,
mengenalimu
membuatkan hati
berbunga harap
sudikah kau sirami
dengan madu setia?

maaf,
mengenalimu
membuatkan jiwa
menjadi bimbang
adakah pertemuan
hanya sarbat angan?
-adizack ms
14 disember 2011

Syukur

aku menjadi malu untuk meminta-minta
sedang terlalu banyak yang telah dikurniakan
lautan nikmat dan rahmat tak pernah akan kekeringan
kaku minda mendengar pembicaraan yang tak pernah putus-putus
menghidang persoalan di atas meja kopi, dipintu dan di mana-mana
sehari suntuk membuat perkiraan yang masih belum tentu
semoga esok mereka akan puas dengan apa yang bakal diraih
dan memanjatkan kesyukuran atas segala nikmatNya
walau sedikit atau banyak, ia tetap rezeki kita!
-adizack ms
14 disember 2011

Pusara Hati

Siapakah akan berteleku kaku
Di sisi pusara hatiku yang telah mati
Menyiram air mawar diselut memerah
Tanda ingatan tulus tak pernah kan sirna
Menanam sisa keakraban dipangkal nesan
Dan membacakan puisi kenangan selang waktu
Agar aku sentiasa ingat bahawa suatu ketika dahulu
Dua jiwa pernah memintal ombak rindu di pesisir senja
Sedang takdir merenggut mimpi yang bertamu diujong harap!

-adizack ms
9 dis 2011, villasepi tm

Seribu Goda

aku yang bukan aku
mundar mandir mencari sesuatu yang tidak ketahuan
terpana oleh bisik dan ulas senyum menawan
dan sesat dalam kilauan seribu goda
hingga dingin penuh menitis laju
melihat dompet kian kekeringan
wang masku telah dipinangi
duit plastikku telah ditunangi
sedang banyak lagi
belum diberesi!!!!

-adizack ms
alamanda putrajaya.
7 disember 2011

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails