Monday, June 16, 2008

Sebermula Darimu.(Sempena Hari Guru)

sebermula secalit huruf
di hujung fasih lidahmu
bukan sedikit iltizam jitu
merungkai kusut jahil benak
anak-anak didik yang kehausan
didikan sempurna

sebermula sebuah angka
di hujung tuntas semangatmu
bukan sedikit kudrat ikhlas
memupuk wangi benih sahsiah
anak-anak didik yang mengharap
belaian mesra manja

bukan sedikit yang kau hamburkan
di laman ilmu mewadah kegemilangan
tiap musim berganti kau ukirkan senyuman
di bibir ceria anak didik dan rangtua mereka
terpahat monumen sejarah kejayaan bangsa
sebagai saksi sebuah pengorbanan tulus
meski jasabaktimu dijunjung seketika cuma
namun terbias bersit kesyukuran bening
pada kemilau dingin salju airmata
seorang yang bernama guru

sebermula darimu
mereka kini bisa mengatur jejak
melangkaui hambatan meraih impian
menjelajah minda meneroka peradaban
kerana yang mereka warisi adalah
semangat kental dan iltizam padu
yang telah kau tanamkan
pada setiap derap langkah
perjalanan mereka.

-adizack ms
mei 2000

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails