Wednesday, November 11, 2009

Belasungkawa Buat Seorang Sahabat (Buat Allahyarham Mahisham Mahmood)

'sahabat'
ucap pertamamu
pabila mata bertaut
hingga kini masih ku ingat
tak pernah sekali kau lupa
kerana mulia jiwamu terpancar
dari kejernihan kolam hati
kau seorang sahabat, abang & saudara
dunia akhirat

lafaz bicara, senyum tawa & gurauanmu
hingga kini masih menjadi mimpi manis
bila takdir Illahi tiba-tiba menjemputmu
tersungkur aku di lantai pasrah
menerima perkhabaran duka
bagai tersiat jiwa sendu bermukim
meneguk setitis keredhaan yang pahit
mengalir menyusuri lurah pipi

belum puas lagi ku
berteman denganmu sahabat
meski sembilan musim kita bersama
ku rindui panggilan darimu bertanya khabar
ku rindui lembut suaramu memberi nasihat
ku rindui kemanisan saat kita bersama
sekali-sekala berkumpul di kedai kopi
sambil berbincang masalah kehidupan

sahabat
dengan dorongan & iltizammu
sama-sama kita redah belantara ilmu
dan mengecap nikmat kejayaan yang kita tuai
namun kini tinggallah aku sendiri
meranduk arus getir bersama kekuatan
yang telah kau wasiatkan

semoga rohmu sahabat
dicucuri rahmat Allah
berada bersama mereka
yang mendapat syafaat
selamat jalan sahabatku yang mulia hatinya
selamat jalan abangku yang tabah jiwanya
selamat jalan saudaraku yang sentiasa
berada dekat dihati.

-adizack ms

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails