Friday, July 4, 2008

Pertemuan

terlalu lambat
waktu beringsut
di ruang kaku

bibir ranum
gementaran
mengunyah kata-kata

dan mataku
telah kehilangan sinarnya...

-adizack ms
jan 15 1986

Tika Bersendiri

tika bersendiri
di ruang kamar sepi ini
aku terpaksa belajar bersabar
menanti kehadiran selembar warkah
& terpaksa belajar menahan
secebis kerinduan yang
tiada tertanggungkan
tiba-tiba angin lalu
menyapa lembut ditelinga
"wahai perantau
selagi mentari masih bersinar
& rembulan masih bercahaya
di sisimu tetap hadir sebuah harapan"
dan
tika bersendiri lagi
aku sering menanti kehadirannya
menemani kesepian yang melata.

-adizack ms
jan 1983
tamancempaka, ipoh

Adakalanya

adakalanya
ombak tiba-tiba menggelepar
ke pesisir pantai
keras dan ganas
keras dan ganas
lalu hilang di celah pepasir

di atas hamparan pantai
kulit-kulit siput & karang-karang tajam
tersisa di antara buih-buih ombak

adakalanya
aku tidak dapat lari
dari memijak kulit-kulit siput
dan karang-karang tajam itu
bila tiba-tiba ombak semakin keras
menghempas ke rahang dada
akan bersungailah lurah-lurah kenangan
mengalir ke lembah berdarah
pedih dan hanyir
pedih dan hanyir.

-adizack ms
akhir sept 1983

Telah Terlewat Kiranya

telah terlewat kiranya
segalanya tidak lagi memungkinkan
untuk kita layarkan kembali
bahtera usang pertemuan
di laut kehampaan yang berguncah

telah terlewat kiranya
segalanya telah lama berlalu
ditelan musim-musim garing
dan kita hanya mampu
menerima ketentuanNya

dan aku pun tidak lagi
berdiri di pinggir senja
menghitung usia dan harapan
yang semakin rapuh
kerana aku mengerti kini
bahawa kau tidak akan pernah kembali lagi
ke daerah sepi ini.

-adizack ms
mac 25 1984

Tika Senja Tiba di Pelabuhan

tika senja tiba di pelabuhan
pelangi perlahan-lahan berderai
di ujong ufuk merah tua
wajahmu perlahan-lahan hilang
direnggut kelam yang buta
aku pun perlahan-lahan hanyut
di antara riak ombak ganas

tika senja tiba di pelabuhan
bahtera cinta telah belayar
meredah samudera kelukaan
kelopak-kelopak rindu pun berguguran
ke lurah sepi yang maha dalam
dan secangkir harap telah berkecai
terhempas ke lantai hari.

-adizack ms
senja nov 1984
k.trg

Lembah Berdarah

angin lembut
perlahan-lahan menyusur lurah kenangan
dan adakalanya
kembali menghimpunkan harapan
yang rapuh di atas temulang waktu

lembah berdarah ini
adalah sungai segala luka & derita
ngalirnya deras ke rahang dada
mencengkam segenap akar rasa
merenggut segenap sisa kekuatan
& kini tujuh musim pengap
ke perut waktu
namun pedihnya
teramat payah untuk dileraikan.

-adizack ms
akhir 1984
batuburuk

Sandiwara

waktu terus berarus
mengalir bersama darah hanyir
bersama daki & dedebu kata-kata
bertahun pedihnya mencengkam
menyiat merobekkan rahang dada
sedang hentinya tak pernah pasti

aku lebih rela menganyam sepi
dari terus merintih dan merintih
hingga ketandusan suara
dan airmata.

-adizack ms
1984
k.trg

Thursday, July 3, 2008

Izinkanku

izinkanku abadikan wajahmu di dinding kamar
yang sepi dan terasing ini. meladeni saat-saat
sepi dan rindu yang sering mencengkam. izinkanku
simpan cebisan ulas senyummu sebagai ingatan
bahawa kita pernah bersua di sini. dan relakanlah
ku himpun sinar matamu yang penuh erti menerangi
malam-malam resahku. kerana kau tak mungkin
dapat ku miliki sepenuhnya.

-adizack ms
1984
k.trg

Secebis Kenangan

malam yang suram ini
hanya kenangan kembali mengimbau
& kedinginan membalut diri
mengingatkan pada sebuah mimpi ngeri

kekadang secebis kenangan itu
sudah cukup mengajar erti siksa
& ada waktunya
malam-malam pekat sebegini
mengembalikan diri pada hakikat
bahawa kita hanyalah insan kerdil
di bumi fana ini
mencari hakikat diri
yang sering hilang.

-adizack ms
okt 14 1984
sgterah, guamusang

Runtuh

merenung tiang batu ini
yang dapatku temui hanyalah kekosongan semata
pastinya ia lebih mengerti
tentang kesepeian dan kelukaan
kerana ia telah berabad
berdiri kaku di sini

dan tanpaku sedari
keluhanku telah lerai menjadi debu
di bawa angin petang yang kering
entah ke mana
yang tinggal cuma
tiang batu yang utuh ini
dan aku yang runtuh di sisinya.

-adizack ms
16 okt 1984 11.45pm
6alpha2 smtgmahmud

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails