Monday, August 18, 2008

Catatan Sepi

agas yang berterbangan
melarikan resah tak berhujung
melewati ruang malam kelam
& menghimpunkannya di pesisir waktu
yang rapuh

relaian angin dingin
memagut jejak di penjuru mata
menemukan erti sebuah kehilangan
sedang kejauhan mendera
saraf & rongga

sesekali
gementar jantung kian keras
mengingati seraut wajah
& ulas senyum mekar
lalu mimpi pun mulai bercambah
di penghujung rindu.

-adizack ms
mac 11 1986
sg mengkuang

Beberapa Catatan

resah bergumpal di lantai
sepi tak pernah menjanjikan apa-apa
untukku hirup dari piala kehidupan
kerana tubuh lesu telah terbaring
di ranjang kebekuan
redha pada ketentuan
...........
aku melihat lagi
wajahmu hangus dijilat mentari
hangatnya membakar ubun-ubunku
rupanya kata-kata adalah temali rapuh
mengikat bahtera di laut berguncah!
............
saraf dukaku menggelepar di lantai
meronta di unggun sepi
& mimpi semalam bertaburan di ranjang beku
menjemput kengerian bersimpuh di sisi
sewaktu menyambut secebis salam luka
& sehelai rindu yang tersepit
di kaca jendela!

-adizack ms
sept 22 1986
taman cempaka, ipoh

Seekor Rerama Ungu

jenuhku perhatikan
seekor rerama ungu
terbang di antar kuntum ke kuntum
melarikan sepi dan resahku bersamanya

ia pun hinggap di ranting kayu
melontarkan dukaku ke tanah
ke atas dedaun kering

tiba-tiba angin gasar merempuh ganas
melayangkannya jauh dariku
lalu ia pun terhempas ke batu
ah, sayapnya patah!

seharusnya aku
berterima kasih padanya
biarpun waktunya telah terlewat
kerana ku tau ia merintih dalam hati
sepertiku jua.

-aadizack ms
jan 24 1986

Pesisir Sepi

i.
malam melabuhkan seuntai mimpi di ujung kaki
dan garis-garis leluka di wajah kian lenyap
dimamah kedinginan malam beku
dingin & meresahkan

ii.
debu-debu garing berterbangan mengisar angan
di pundak waktu yang terbatas
lalu menghimpunkan kelu
di pesisir sepi

iii.
seorang aku masih lagi
termanggu dibirai malam
mencari wajah tak bernama
hingga kesiangan menjemput ketentuan
sujud di pangkal pohon takdir

iv.
dan seakan putus asa
ia pun tunduk
mengutip sisa-sisa rindu
yang bertaburan
di pesisir sepi.

-adizack ms
april 2 1986
sungai mengkuang

Dua Catatan di Kejauhan

i.
termanggu di jendela
pedih menyiat sembilu merentap
betapa kejauhan ini memaksaku
menafsirkan erti kesepian
sedang segala kemanisan
tertinggal dalam cangkir waktu
dan rerenyai hujan malam
adalah saksi pertemuan
bening namun mengesankan

termanggu di jendela
terkadang meresahkan
& adakalanya menyakinkanku
pada sebuah ketulusan

ii.
terima kasih sungai mengkuang
kerana mengajarku bersabar
menahan kerinduan yang membara
di puncak rasa

terima kasih sungai mengkuang
kerana mengenalkan erti sepi
& secebis penanggungan yang perih
dari sekelumit kekuatan

terima kasih sungai mengkuang
kerana memberikanku waktu
sekadar untuk membuktikan
sebuah ketulusan.

-adizack ms
mac 17 1986
sungai mengkuang

Kalau Aku

kalau aku termanggu di pesisir jalan
bersenda dengan dedebu kenangan yang halus
dengan pakaianku yang tak terurus;
bukanlah bererti telahku lenyapkan
segala keinginan
& sekelumit impian
atau melontarkannya ke muara kehancuran
sebaliknya aku sedang cuba mendirikan
tembok keyakinan yang kental
dengan sisa-sisa kudrat ini
sebaliknya aku sedang cuba meneguhkan
ikatan perasaan yang teranyam
bukan sekadar kerelaan yang dusta!

-adizack ms
april 10 1986
tumpat

Sunday, August 17, 2008

Persimpangan

tau-tau
segugus mimpi indah
telah terdampar di ranjang
lembut dan mesra

tau-tau
pesisir rindu tak berpenghujung
telah lekaku susuri
menyakinkan hati & sekaligus
menjanjikan harapan

dan tau-tau
hening subuhku telah ternoda
desir angin lunak yang lekat di jendela
menghulur salam pertama

lalu di persimpangan ini
arah manakah harusku tuju?

-adizack ms
jun 13 1986
tumpat

Mencari Kejernihan di Kolam Hatimu

dalam kehitaman malam
aku adalah seorang pelarian
cuba melepaskan diri yang kian lesu
dari belenggu mimpi ngeri
yang merentap segenap kekuatan

dalam kehitaman malam
apalah lagi yang tinggal padaku
selain hanya secalit harap
yang serapuh kata-kata
sedang aku bergantung padanya
dengan keyakinan yang penuh

sesekali
tika menyusuri lurah ingatan
terasa kepedihan itu kian parah
menyiat jantung yang sedia berdarah
hingga berlangir diselokan hati
dan apalah yang bisaku cari
selain setitis kejernihan
di kolam hatimu
sedang kau kini kian menjauh
enggan menerima hakikat
dan menolak kenyataan

dalam kehitaman malam ini
aku masih cuba mencari
dirimu yang sebenar
kerana aku tak bisa berdusta
pada cinta ini.

-adizack ms
ogos 28 1986
mpki

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails