Monday, March 22, 2021

Bagai Tiada Esok

 #BagaiTiadaEsokLagi#

Di sini aku melihat masa kelelahan

Dikejar dan dihambat manusia

Tercungap-cungap mencari sela 

Untuk sekadar menghela nafas semput

Sambil menghirup masin lelehan peluh

Di hangat mentari yang membakar

Waktu tak punya ruang berehat

Melayan serakah nafsu-nafsi manusia

Meladeni pusaran mata yang berpinar

Bergolek di lantai, di toko dan di jalanan

Seribu warna pelangi mengaburi akalfikir

Semua ingin dimilik dan diratah rakus

Waras hilang tak menemukan makna

Lahapnya manusia pada duniawi

Bagai tiada esok lagi.


-adizack66

Rantau Panjang-Golok

Saturday, March 13, 2021

Hambar

adatikanya kuntum bicara menjadi hambar

lekat di kerongkong mengisi ruang kebekuan

bukan kerana tiada lagi bunga-bunga mesra yang bercambah

tapi kerana detik waktu menjadi begitu singkat dan cepat berlalu

dan kita terperangkap di antara tanggungjawab yang terbeban di pundak

maafkan aku kerana tak pantas menyambut bias kolam rindu yang terpercik halus

membasahi ubun-ubun kasih yang terpenjara di selokan hati...

#adizack ms

Wednesday, March 10, 2021

Sekadar Berteduh

#Sekadar berteduh...#

Segala kepayahan sewaktu dahulu

Menjadikan kita tabah menghadapi dugaan

Aku melihat kalian bangun bertatih

Tanpa tangan lembut yang membimbing

Segalanya keperitan kalian telan

Berdiri gagah melangkah satu persatu

Mendepani hidup yang serba kekurangan

Kita diuji diusia serapuh rebung

Menumpang seulas kasih tersisa

Begitu rasanya tak punya siapa

Hingga kini masih terus bertahan

Sekadar berteduh dilembayung

Langit harapan yang berarak lalu

Menagih hangat cinta yang hilang

Ketika kita masih tak mengerti

Takdir yang hadir bersimpuh disisi

Tiba-tiba merenggut damai jiwa

Bertabahlah, kerana diujong ujian

Terserlah hikmah maha indah

Untuk sama kita syukuri.

-adizack ms

#10032016

11.14pm

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails