Friday, January 22, 2010

Gurindam Takdir Hidup Insan

kalau takdirnya hidup mewah
jadilah orang kaya yang pemurah
sentiasa beramal dengan sunnah
harta itu adalah amanah
elakkan diri dari fitnah

tiada guna harta berjuta
jika malam susah lelapkan mata
sentiasa bimbang ragu melata
kesihatan pula tidak terjaga
hati menjadi gundah gulana

kalau takdirnya hidup sederhana
memadai dengan apa yang dikurnia
sentiasa redha dengan ketentuanNya
mencukupi dengan berkahnya harta
meski rezeki sedikit tidak terasa
bebanan hidup ringan jadinya
kerana semua adalah anugerahNya
buat insan yang bersyukur padaNya!

-adizack ms
22 januari 2010

Monday, January 18, 2010

Aku Ingin

sebelum aku mati
aku ingin lidahku sentiasa basah
dengan zikrullah
membaca ayat-ayat suci kalamMu
mengamal segala tuntutanMu
berjalan di atas siratMu
yang lurus dan kudus

sebelum aku mati
aku ingin menyucikan qalbu
dari sawang dosa yang terpalit
sepanjang kehidupan fana ini
mendakap nur kudusMu
di tanah haram

sebelum aku mati
aku ingin mengenal diriku yang sebenar
demi mencari keredhaanMu

sesungguhnya
tiap titisan airmata keinsafan
yang mengalir di lurah hati
adalah nafas resah
& gementar temulang
menunggu saat
menghadapMu.

-adizack ms
18 januari 2010
Tanah Merah.

Sunday, January 10, 2010

Pesan Boss

kata boss
kerja tak bertangguh
namanya kerja bersungguh
semua yang diberi siap ikut masa
kemas, tertib dan tidak sambil lewa
barulah jadi pekerja produktif
inovatif dan pro-aktif

kata boss
kerja harus ikhlas
jangan pula jadi culas
selalu mengular larikan diri
sedang orang lain sibuk dia sembunyi
rupanya ada di kedai kopi

tambah boss lagi
jadilah garam yang memasinkan daging
bukan lalat yang merosakkannya
jadilah rama-rama yang mendebungakan
bukan kerengga yang kononnya menjaga buah
tanpa berbuat apa-apa pun
tapi mengigit pula jejari
yang ingin memetiknya

aku kata
memang betul tu boss!

-adizack ms
10 januari 2010
taman adabi, tanah merah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails