Monday, June 16, 2008

Wasiat Buat Anak

anak-anakku
sebuah teratak kecil
& sebidang tanah ini
adalah pusaka dari kami
buat kalian, anak-anakku
bilamana menyusur denai kehidupan
singgahlah walau seketika cuma
menyapa bicara mengenang sejarah
di sinilah tempat kalian dibesarkan
janganlah dipecahkan walau seinci pun
buat kenangan di hari kemudian
di sini ibu dan ayah pernah bersama

anak-anakku
sering-seringlah kalian
membaca & mengamal ajaran Al-Quran
& menurut sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
sesungguhnya kalian tidak akan sesat selamanya
sentiasalah berbuat kebaikan & maaruf
meskipun tiada ganjaran & balasan
dalam tiap urusan kehidupan
sabar dan bertimbangrasalah
sesama sendiri & kepada orang lain
semoga Allah merahmati kalian

anak-anakku
sekiranya kami masih ada
mengharung hidup dalam usia senja
kasihilah & jagailah hati kami sepertimana
kami membelai & mengasihi kalian
di waktu kalian kecil dahulu
& janganlah sekali-kali menderhaka
kerana syurga itu di telapak ibu
dan rahmat itu pada redha ayah

anak-anakku
didiklah diri kalian
& turunan kalian semuanya
dengan akhlak yang mulia & kamil
sembahyang 5 waktu jangan abaikan
rukun Islam tunaikan jua
rukun iman sematkan dijiwa
bersungguhan dalam tiap urusan
berusaha mencapai kebahagiaan
dunia dan akhirat
sesungguhnya kematian
tidak mengenal usia
persiapkanlah diri untuk menuju
alam hakiki & kekal
namun usah palingkan wajah
dari nikmat Allah s.w.t. di dunia
bersederhana dan bertawakallah padaNya
serta berfikirlah dengan waras & pertimbangan yang adil
agar kalian tidak menyesal di kemudian hari

anak-anakku
sentiasalah bersatu & bermusyawarah
dalam tiap urusan kalian
carilah jalan pennyelesaian sebaik mungkin
& pohonlah inayah & hidayah Illahi
agar selalu dilimpahi
Nur suci ke jalan kebenaran
& sentiasalah bertaubat & memohon keampunan
atas segala dosa-dosa
sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Pengasih & Penyayang

anak-anakku
janganlah sekali-kali kalian
menaruh prasangka sesama sendiri
atau berdendam, dengki & bersengketa
kerana syaitan sentiasa di antara kalian
menghasut, merosak iman & ikatan kasih
bertasbih dan mengucap syukurlah
atas segala rezeki & kebahagiaan
cukuplah dengan apa yang dikurniaNya
bersederhanalah dalam segala hal
kerana manusia sememangnya
tidak pernah merasa puas

anak-anakku
usahlah kalian
meninggi diri & bersifat keras hati
dan janganlah pula mudah berputus asa
daripada rahmat Allah s.w.t.
terimalah segala ujian daripadaNya
dengan keredhaan dan penuh kesabaran
kerana ganjarannya amat tinggi di sisiNya

anak-anakku
andainya kalian
dikurniakan rezeki melimpah
sentiasalah bersedekah & beramal jariah
& bantulah mereka yang memerlukan
usahlah diungkit segala pertolongan
ikhlaskan hati demi Allah s.w.t. semata

anak-anakku
sambunglah tali sillaturrahim antara sesama Muslim
janganlah dilupa pada yang miskin & memerlukan
berziarahlah selalu dekatkan diri
al-fatihah & yassin di kuburan andai terluang
tanda ingatan tak pernah pudar

anak-anakku
petah tutur kata harus dijaga
agar diri dihormati dan dimulia
adab sopan harus dikira
walau dalam apa pun jua
semoga diri dihargai sentiasa

anak-anakku
kasih sayang anugerah Allah s.w.t.
lembut dan indah mewarnai kehidupan
ayah dan ibu kan pergi jua
menghadap Tuhan Rabbul Jalil
tinggallah dalam aman dan sentosa
semoga kesejahteraan kekal milik kita
dunia & akhirat
insyaAllah

anak-anakku
seandainya ibumu masih ada
jagailah segala keperluannya
turutilah segala nasihatnya
sentiasalah dekat padanya
agar berbahagia & sentiasa ceria
anak-anakku
bacalah wasiat ini dengan hati dan akalmu
dan amalkan sentiasa
dalam hidupmu.

- adizack ms
ayahmu yang merindu
oktober 26 2001 (1.00 pagi)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails