1.
anakku
telah tertunai impian ibunda
anugerah Illahi Maha Agung
betapa girangnya hati
pabila menyambut kehadiran
kau yang ku kandung sembilan purnama
sambil menghitung debar dan gelora
segala jerih perih rela ibu tanggung
meski terkadang begitu derita
hanya keranamu anakku
2.
anakku
sejak semula kau dilahirkan
telah tersemat restu dan harapan
agar kau bisa dewasa dalam kesempurnaan
tiada pernah ayah merasa terbeban
meski terpaksa membanting temulang reput
menghambur keringat di terik mentari
sekadar mencari sesuap nasi buat kita
segalanya ayah tempuh dengan rela
hanya keranamu anakku
3.
anakku
dengan kasih sayang sesuci embun menitis
ibu belai dikau bersama keluhuran dan keikhlasan
setiap detik berlalu menjadi sejarah manis
yang tak pernah akan pudar ditelan zaman
meski adatikanya sikapmu amat mengharukan
namun tak pernah ibu pendam di hati
kerana kaulah kandil gemerlap di malam gelita
kaulah cahaya mata penyinar sukma
4.
anakku
tiada lain yang ayah harapkan darimu
selain agar dikau menjadi insan mulia
biarlah segala kepayahan menjadi darah & daging
biarlah derita ayah kunyah menjadi hampas
demi kau intan payung buah hatiku
segala pengorbanan bukanlah untuk dibalas
tidak juga untuk dikenang & diingati
namun hanya sekadar menjadi kewajipan
yang harus dipikul oleh pundak ini
5.
anakku
insaflah diri dan renunglah kembali
ke dalam empat penjuru hati
binalah kekuatan dan keteguhan
menghadapi hidup penuh pancaroba
betapa jalan menuju kejayaan itu
adalah penuh dengan onak dan duri
andai tanpa kemudi kau mengharung samudera
kelak binasalah hidupmu terkubur tanpa nesan
6.
anakku
tiada apa yang ku harap darimu
selain sebuah ketulusan dan keikhlasan
catatlah setinta lembaran sejarah
bukalah minda cernalah impian
agar mimpimu kan jadi kenyataan
kerana kau anakku
adalah permata
ayahbonda.
-adizack ms
10 april 2000
No comments:
Post a Comment