Monday, June 16, 2008

Tak Pernah Kita Merasa Puas

kita tak pernah puas
menyumbat tenggorok dengan noda
pantang dihulur tangan menyambut
begitu lahap menyumbat daki dunia
ke perut hari yang membusang
meratah sisa akli dengan nafsu
tega mencampak temulang hayat
di perdu iman yang tersula
oleh keegoan insani

kita tak pernah merasa puas
meracik bilah runcing dari bambu dosa
lalu memanah insaf yang mampir
dari celahan retakan kolong nurani
menghambur hilai tanda kemenangan
terkuburnya takwa di laman dusta
nesan tertancap di kuburan naqli
sejadah berlangir darah syuhada
tasbih berderai di selokan jiwa

untuk apa sesal kemudian
sedang segala catatan dairi hidup
termaktub tanpa bisa dipinda lagi
kerana keangkuhan kelmarin
minta dipertanggungjawabkan
melolong roh minta dilepaskan
azab mashyar angkara jasad
kerana kita tak pernah puas
dengan apa yang dikurnia.

-adizack ms
disember 2006

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails