Monday, June 16, 2008

Syair Kasih Ayah Bonda

Sejenak mengenang ayah dan bonda
Kasih tergenang di pelusuk jiwa
Indahnya kukenang masih terasa
Dalam tatangan kasih ibunda.

Lahirnya kita hidup di dunia
Dibelai dimanja setiap masa
Apa dipinta pastikan jaya
Kerana kitalah permata ibunda.

Ayah dan bonda rela segala
Berkorban nyawa demi tercinta
Bandingan tiada segala di dunia
Kasih ibunda kekal selama.

Harapan tercipta dihati mereka
Agar bahagia hidup sejahtera
Kelak berguna membangun bangsa
Harumlah nama disebut sentiasa.

Janganlah kita lalai dan leka
Kejarlah cita untuk berjaya
Jasa ayahbonda jangan dilupa
Tanpa mereka siapalah kita.

Tulus dan ikhlas membimbing kita
Itulah dia ayah dan bonda;
Barang dimarah pasti dipujuk
Supaya tidak terus merajuk.

Kasihnya suci murni sejati
Sayangnya amat sampai ke mati;
Bila berjauh rindu terasa
Hati terkenang setiap masa.

Ayah dan bonda syurgalah kita
Taat sentiasa jangan derhaka;
Doanya kudus kepada Illahi
Semoga kita selalu diberkati.

Sanjungan buatmu ayah dan ibu
Semoga dirimu sejahtera selalu;
Jasamu besar tidak terkira
Mendidik kami hingga dewasa.

Padamu berdua ayah dan bonda
Kami berjanji akan setia;
Apa dikata tetap dikota
Bukanlahlah janji semata-mata.

Mahalnya harga tidak terperi
Kasih nan murni pengubat hati;
Wahai ayahanda wahai ibunda
Akan ku kenang selama-lama.

~ adizack
15 mei 2001
taman adabi 9.55 mlm.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails