Monday, June 16, 2008

Saat Terakhir Ku Kucup Keningmu (buat allahyarhamah nur syazwani anakku)

i.
telah hadir kau disisi
diujung sebuah penantian yang panjang
penuh getir dan meresahkan
membalut keperitan
seorang ibu
telah hadir kau disisi
mencerahkan kembali awan yang kelabu
membawa seribu erti dalam kehidupan
ibu dan ayahmu

ii.
anakku
tiba-tiba jejari takdir yang rakus
telah merenggutmu dari kami
sedang kau tak pernah mengerti apa-apa
pun tak pernah bisa mengecapi
walau sedetik nikmat kehidupan
yang sementara ini

iii.
anakku
termanggulah kami
disisi nisanmu yang kaku
tertancap di tanah yang masih basah
merahnya adalah warna kedukaan
hitamnya adalah warna kesayuan
segalanya terlalu perit untuk ditelan
kerana mimpi indah ini berlalu
bersama nafas terakhirmu
yang kelelahan
menghambat
waktu

iv.
anakku
saat terakhir kukucup keningmu
airmata ini berjuraian pedih
meladungi harapan yang punah
namun apalah yang bisaku lakukan
selain hanya pasrah pada ketentuanNya
dan redha menerima ujian getir ini
dengan sebuah keinsafan
bahawa kita adalah milikNya.

-adizack ms
februari 5, 2000
tanah merah
*nur syazwani pulang ke rahmatullah pada 5 februari 2000 bersamaan 29 syawal 1420 hijriah di husm kubang kerian ketika berusia 5 tahun. semoga Allah swt mencucuri rahmatNya ke atas roh allahyarhamah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails