Di pagi bening ini
Kita kembali menyusur sirah Rasulullah
Betapa terlalu banyak dugaan dan halangan
Yang terpaksa diredahnya dalam melaksana misi
Amanah dari Tuhan Rabbul Jalil
Sedang kita hanya insan biasa
Tak mampu berdiri walau hanya sebelah kaki
Kalau tidak dengan rahmat dan iradatNya
Sebermula sepatah ayat
Menjadi panduan sejarah insani
Kaulah Rasulullah menjadi pemimpin ummah
Pada sunnahmu terselit sejuta barakah
Kerana kau penyempurna sahsiah maunsia
Padamu teladan keunggulan keperibadian
Dulu, kini dan buat selama-lamanya
Isnin, 12 rabiul-awal tahun gajah
Detik sejarah mula tercatat di atas kanvas peradaban
Membawa sinar gemilang ubudiah
Menerangi seluruh cakerawala
Mentari ceria di ufuk timur
Menyerlahkan rahmat Tuhan
Ke segenap pelusuk benua
Membawa insan dari kelapaan
Kepada kesedaran hakiki
Dari jahiliah yang zalim
Kepada hakikat keimanan sejati
Menjadi tali kukuh yang mengikat
Seberkas hati pada sebuah agama
Yang turun dari langit Tuhan
Rasulullah
Jasamu tidak terhingga
Menjarah akidah insan ke paksi kebenaran
Kaulah penyelamat ummah dari kelemasan
Di lautan dunia yang palsu dan fana
Dari kemungkaran kepada maaruf
Dari kebutaan kepada celik akal budi
Menilai sebuah kehidupan
Di pelabuhan masa
Yang terlalu singkat
Dan sedetik cuma.
-adizack ms
11.06.2003 2.35ptg.
No comments:
Post a Comment