i.
menjelang 31 ogos
mataku bergenang jernih airmata
bukan kerana terharu atau bahagia
kerana negaraku masih kekal merdeka
tetapi kerana pilu melihat bunga bangsa
hanyut dilambung gelora zaman nan rakus
hingga lupa pada maruah peribadi
lupa pada sejarah para pejuang bangsa
yang berkorban demi ibunda tercinta
ii.
pada bening fajar 31 ogos
hatiku pedih bagai tersiat sembilu
bukan kerana kelukaan atau kepedihan
kerana negaraku masih cuba diinjak mereka
tapi kerana tersayat melihat bangsaku
masih tercari-cari makna kemerdekaan
hingga sanggup menjual diri dan taulan
lupa pada keakraban dan kasih sayang
yang dipupuk bertahun lamanya
iii.
dan yang amatku kesalkan
31 ogos tetap datang dan pergi
namun ada yang masih berdiri kaku
sambil memandang Jalur Gemilang
yang berkibar megah dipuput angin
dengan kedua mata bundar yang kosong
tanpa merasakan apa-apa.
-adizack ms
No comments:
Post a Comment