Atas segala keperluan
Yang tak mampuku sediakan
Atas segala kehendak
Yang tak mampuku lunaskan
Atas segala hajat
Yang tak mampuku tunaikan
Dan atas segala kewajipan
Yang tak mampuku jalankan
Maafkanlah aku.
Atas ketiadaanku di sisi
Di saat kau amat memerlukan
Atas keegoan diriku
Sedang kau amat memahami
Atas pengorbanan tulus
Demi sebuah ikatan suci
Dan atas pengertianmu
Buat meneguhkan persetiaan
Maafkanlah aku.
Atas segala kasih sayang
Selama ini kau curahkan
Atas kedegilan diriku
Sedang kau rela mengalah
Atas kekurangan diriku
Sedang kau tabah menerima
Dan atas segala kepayahan
Sedang kau redha menghadapi
Maafkanlah aku.
Atas segala keperitan
Sedang kau gigih mengharungi
Atas segala memori silam
Yang kekal bersemadi di hati
Atas segala keharmonian
Yang kau bajai dengan kerinduan
Dan atas segala kegelisahan
Yang kau sirami dengan airmata
Maafkanlah aku.
Atas segala ketaatan
Yang kau pupuk dengan kecintaan
Atas segala tanggungjawab
Yang kau bina dengan kudrat
Atas segala kesulitan
Yang tak mampuku huraikan
Dan atas segala kekesalan
Yang terpendam di lubuk hatimu
Maafkanlah aku.
Atas segala jerih perih
Menghidupi cahaya mata kita
Atas segala pertimbangan
Melerai segala permasalahan
Atas segala perkongsian
Suka dan duka selama ini
Dan atas segala kealpaanku
Sedang kau tak pernah melupai
Maafkanlah aku.
Atas segala kesudianmu
Meniti hidup bersama
Atas segala kerelaanmu
Menyusur badai dan gelora
Atas segala keikhlasanmu
Menyelimuti tubuh dinginku
Dan atas segala kemesraanmu
Membelai sebuah kebahagiaan
Maafkanlah aku.
Atas silap pengertianku
Sedang kejujuranmu terserlah
Atas sikap amarahku
Sedang kesabaranmu utuh
Atas segala kegusaranmu
Sedang aku tidak pernah memahami
Atas segala penderitaanmu
Sedang aku tidak pernah menyelami
Dan atas segala takdir kehidupan
Yang kau terima dengan kesyukuran
Ampunkanlah aku wahai isteriku
Kerana aku sesungguhnya
Serba kekurangan.
-adizack ms
februari 15 2002
No comments:
Post a Comment