Monday, June 16, 2008

Dadah Durjana

Ketika mereka leka dengan syabu dan estacy
Atau bergilir mencucuk urat nadi dengan jarum maut
Bonda sedang khusyuk menadah telapak tangan
Mendoakan kebahagiaan dunia akhirat
Buat mereka anak-anak yang dikasihinya.

Dan ketika mereka terpana diuliti khayalan
Melayang bersama longlai derap langkah
Dan mata kuyu seolah dunia milik mereka
Ayahanda sedang keras membanting temulang reput
Iltizamnya mengalir bersama titisan keringat
Demi menyediakan secupak beras sesuap nasi
Buat menghidupi anak isteri di pondok hidup.

Betapa,
Anak-anak gelandangan itu
Tidak pernah peduli pada pengorbanan ayah bonda
Tidak pernah mengerti akan hakikat kehidupan
Tidak pernah menyoal baik dan buruk
Untung nasib hari muka yang kian mendatang
Yang direbut mereka hanyalah keseronokan sementara
Dan kebahagiaan yang palsu belaka.

Sedarlah, bahawa dadah bukanlah karib taulan
Yang bisa menjanjikan harapan segunung impian
Malah ia adalah petualang segala kebinasaan
Yang bakal mengheret kita ke lembah kehinaan
Menggelepar pedih tanpa maruah dan harga diri
Meracun minda dan mencemar sahsiah kamil .

Betapa indahnya ulas senyum ayah dan bonda
Andai kalian bisa menyemai budi direlung bakti
Menabur benih gemilang di laman remaja
Buat mengotakan janji meraih kejayaan
Yang manis dan amat bermakna
Namun betapa pula mahalnya harga
Dingin airmata mereka
Pabila melihat kalian tersasar arah haluan
Di jalan lurus yang terang nyata.

Wahai teman-temanku sekalian,
Hindarilah diri dari perangkap dadah durjana
Berlindunglah dengan amal dan takwa
Kerana kita punya misi dan visi
Menjarah kecemerlangan
Ke paksi kenyataan.

-adizack ms
onetanamera

3 comments:

  1. SALAM...
    puisi ini amat menarik..
    boleh tak saya nak copy, print dan framekan..utk pertandingan dadah sekolah saya..skrg kami wakil negeri utk bertanding di peringkat kebangsaan..

    ReplyDelete
  2. assalamulaikum,
    saya amat tertarik dengan pisi ini, mohon kebenaran untuk copy demi membentras dadah
    wassalam

    ReplyDelete
  3. Wsalam. Silakan dikongsi utk manfaat bersama.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails