terkadang itu
terasa begitu payah
menepis angin resah
yang melabuhkan illusi
melenturkan pautan rasa
menggugah perdu kasih
kau dan aku
& adatikanya
hari-hari menjadi begitu hambar
antara kewajipan yang tersurat
tercerna sekelumit rasa bersalah
yang lahir dari kejernihan kolam hati
betapa telah begitu lama kita
terperangkap antara tanggungjawab ini
sehingga menjadi alpa pada kenangan
pada kemanisan saat-saat bercanda
terkubur bersama puing-puing ingatan
isteriku
betapa selama ini
kita sebenarnya terpisah
meskipun masih bersama
& kita sebenarnya kian menjauh
meskipun teramat dekat disisi
namun tak siapa yang harus dipersalahkan
kerana segalanya itu sememangnya
semakin mendewasakan kita
untuk menafsirkan erti
sebuah kehidupan
isteriku
marilah kita raih kembali
detik sejarah silam yang indah
buat meneguhkan semula persetiaan
membina keyakinan dari ketulusan
agar rindu kembali menguntum
membenihkan kebahagiaan hakiki
utuh mengikat seberkas hati.
-adizack ms
Mac 26 1997
No comments:
Post a Comment