Ramadhan tidak pernah lupa
menjengahkan wajah lembutnya
menghulur selembar salam ikram
dan menebarkan bersit rahmat
ke seluruh cakerawala.
Ia hadir dengan senyum manisnya
menyambut tangan-tangan yang menadah
mengharap keredhaan dari sebuah kewajipan
yang banyak mengajar erti kesabaran
dan keluhuran nurani.
Terlalu miskin rupanya diri
dibalut keinsafan dan kesyukuran
betapa kerdil terasa menghitung amali
sedang usia kian memanjat waktu
dan kesyahduan malam seribu rahmat
sempatkah digapai lagi kali ini.
Bersimpuh di tirai bening ramadhan
mengucup dendam rindu membara
terasa terlalu hinanya diri di sisiNya
kerana tak mampu meraih segala
nikmat lautan rahmat
yang terhidang.
-adizack ms
Oktober 22, 2001
No comments:
Post a Comment