Monday, June 16, 2008

Bangkitlah Sebelum Terlewat

Janjimu tika mula melangkah
Menuju gerbang ilmu
Akan kau tabur benih iltizam
Melentur sahsiah kamil terbilang
Bersama luhur semangat juang
Meredah belantara kepayahan
Demi untuk menganyam
Sebidang masa depan yang gemilang.

Namun dalam perjalanan sukar
Penuh onak dan duri ranjau berbisa
Kau kecundang jua dilaman remaja
Rokok yang tak berharga menjadi sahabat
Candu dan pil menjadi teman setia
Ubat batuk bukan lagi menjadi penawar
Malah kian kau tersesat jauh
Dalam terang yang nyata.

Dimanakah segala janjimu dulu
Ketika lembut mencium tangan ibu
Kau yang dikandungnya sembilan purnama
Luluh hancur jiwanya kau robekkan
Tak mampu tertebus dengan selaut penyesalan.

Dimanakah kini segala impian
Dimanakah kini segala sanjungan
Tubuhmu kering layu menunggu maut menjemput
Matamu redup tanpa sinar kemilau harapan
Hilanglah kini sebutir permata berharga
Buat agama, bangsa dan negara.

Ayuhai teman bangkitlah
Sebelum waktunya sudah terlewat
Raihlah kembali segala kekuatan
Perangi dadah habis-habisan
Kerana didadamu ada maruah
Yang harus kau pertahankan
Dan seulas mimpi kejayaan
Yang perlu kau jadikan
Sebuah realiti.

-adizack ms
onetanamera

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails