Tuesday, July 8, 2008

Terima Kasih Tuhan

hari ini
aku bersujud syukur padaMu
atas segala rahmat dan inayahMu
terima kasih Ya Allah
atas lautan kasihMu
begitu besar kurniaanMu padaku
setelah selama ini
begitu getirnya ujianMu
ku redah demi menggapai
sebuah mimpi
menjadi
realiti.

-adizack ms
dewan leftenan adnan
kem desa pahlawan
11.30 am
julai 8 2008

Sunday, July 6, 2008

Sesekali Merenung Dalam Diri

i.
keterasingan
bukanlah sesuatu yang manis
atau pernah dipinta
ia sering bertandang
melewati musim gersang
lantas hatiku membeku
di goda resah

keterasingan ini
kian menjauhkan diri
dari sisa-sisa harapan
yang merapuh di perdu kehidupan

ii.
aku adalah pemburu di ujong senja
meniti antara lingkungan pelangi
mencari sejalur kesucian
& sekelumit kebahagiaan
dalam hati yang meronta
di pangkal takdir

dan sebelum mentari malam bersinar
sebelum tanah merah yang basah
menjilat ketentuan & keterpaksaan
aku ingin sekadar meneguk
secangkir madu dari bebunga harum
di tamanmu.

-adizack ms
okt 17 1986
tamancempaka, ipoh.

Di Pangkal Pohon Iman

deru angin menggoyahkan
reranting senja
kehidupan ini
sebenarnya adalah suatu kematian
beku, tanpa suara tanpa nafas
sedang lurah berkerikil menanti
di tengah perjalanan
san kaki menjejak semaunya
melangkaui batas dan waktu

mungkin di bening subuh
kematian ini akan bangkit
menjadi sebuah kehidupan
kudus dan abadi
kerana tiada lagi
yang leka menghimpun kepalsuan
atau menolak hakikat

mungkin ada
yang meneguhkan persetiaan
lalu mengikat takdir
di pangkal pohon iman.

-adizack ms
feb 12 1986

Persemadian

nisan merah kaku bisu
tertancap seribu getir
di gersang tanah
membungkas sendu
& rindu sebati
dalam secangkir
restu
di pinggir senja berkabut
telah abadi sebuah persetiaan
antara dua hati
sehidup
semati.

-adizack ms
mei 29 1986
(memori buat sepasang teman)

Saturday, July 5, 2008

Sekadar Menyebut NamaMu

sebetulnya
inginku lupakan
desir angin yang berbaur
& kebingitan alam
yang rakus memagut jejak
& mengunyah segenap kekuatan
hinggaku tak punya waktu
walau sekadar untuk
menyebut namaMu

meski lelah memenuhi
kolong kehidupanku
atas nama sebuah ketakwaan
ku usungi keranda iman
sambil bermujahadah
kepadaMu
Ya Tuhanku!

-adizack ms
mei 25 1986
sg. mengkuang

Perjalanan

lalu bersimpuhlah aku
menatap malam yang hamil
oleh sinar sebutir kejora
hangat tapi lembut
membungkus tubuh lesuku
yang kedinginan
di padang gersang

lalu termanggulah aku
mentafsir rahsia alam
betapa di malam yang buta ini
dan malam-malam sebelumnya
sebenarnya aku tidak pernah
bersendiri

lalu mengalirlah airmataku
mengingatkan perihnya perjalanan ini
sedang hakikatnya hanyalah
sekelumit debu
di sisiMu

lalu berpalinglah aku
memohon restu dan keredhaanMu
untuk meneruskan kembara ini
sekadar membasuh dosa-dosa
yang terpalit di wajah
dan mencari sejalur
Nur suciMu.

-adizack ms
jun 15 1986
sg. mengkuang

Kehidupan

hidup ini
ibarat meniti anak-anak tangga
semakin tinggi dan mencabar
sedang kekuatan kian luput
ditelan waktu
adakalanya
kita menjadi terlalu angkuh
sehingga berlari tanpa melihat
pada anak-anak tangga itu
dan terkadang bisa tersungkur
kerana terlalu alpa
dalam mimpi indah
yang bukan realiti
dan terlalu jauh
dari hakikat
kehidupan.

-adizack ms
ogos 19 1986
11.20 pm

Sekadar Berteduh

debar pertama telah kau kunyah
siang yang menjemput keringat pedih
mengejutkan mimpi yang bukan realiti
malah tidak akan mengurniakan apa-apa
selain dari tidur yang panjang

lantas kau pun bangkit
bersama burung-burung pagi
menebarkan sayap lelah
ke gunung, lurah dan lembah
mencari pohon harap yang kukuh
untuk sekadar berteduh
dari ribut dan hujan

benarlah
kebahagiaan itu sebenarnya
berada dalam dirimu sendiri.

-adizack ms
jan 14 1986
2.30 am

Perjuangan

sesekali kita perlu dicuba
berundur bukan bererti kita telah kalah
perjuangan demi perjuangan menuntut
kekuatan hakiki
menerima dengan rela walau terpaksa
segala apa yang telah tersurat
di sisi takdir
kerana hidup tanpa masalah
adalah taufan yang kehilangan
suara & keperibadiannya

sesekali kita harus
dicuba dan diduga
untuk belajar berdikari
atau berkorban kalau perlu.

-adizack ms
jan 12 1986
tumpat

Friday, July 4, 2008

Pengertian

biarpun kadang-kadang
kelukaan itu teramat pedih
dan tidak tertanggungkan olehmu
namun itu hanyalah sekadar
secalit dari rona kehidupan
sedang banyak lagi
yang menanti
di tengah perjalanan
sejauh manakah
kau bisa bertahan
dirempuh badai taufan
dan menahan kehausan jiwa
di ladang cinta
meskipun kadang-kadang
kehancuran itu begitu menyakitkan
namun kau kelak akan terseret jua
ke garis pengertian
dan menjadi lebih dewasa
menilai kehidupan.

-adizack ms
dis 3 1984

Rahmat

akhirnya
serpihan usia yang bertaburan
kau kutip kembali
dan mengantungkannya
di dinding ingatan

akhirnya
kau mula belajar berterima kasih
dan melabuhkan kesedaran
di perhentian waktu
meniti rasa syukur sejati

lalu kau kian menyaksi
betapa nikmat dan rahmatNya
melimpah ruah di tasik rindu!

-adizack ms
nov 10 1985
smtgmahmud, besut

Mengapa Tidak Aku?

laut
dalamnya tidak terduga
memendam rahsia kehidupan
ombak
ngerinya tidak tertafsirkan
menyimpan sejarah berdarah
dan pantai
damainya tidak tergugah
meskipun seribu ceritera luka
berlabuh di pepasir memutih
betapa degilnya mereka
menyembunyikan suara tangisan
di sebalik kemesraan

mengapa tidak aku?

-adizack ms
jan 22 1986
pantaisritujoh

Pertemuan

terlalu lambat
waktu beringsut
di ruang kaku

bibir ranum
gementaran
mengunyah kata-kata

dan mataku
telah kehilangan sinarnya...

-adizack ms
jan 15 1986

Tika Bersendiri

tika bersendiri
di ruang kamar sepi ini
aku terpaksa belajar bersabar
menanti kehadiran selembar warkah
& terpaksa belajar menahan
secebis kerinduan yang
tiada tertanggungkan
tiba-tiba angin lalu
menyapa lembut ditelinga
"wahai perantau
selagi mentari masih bersinar
& rembulan masih bercahaya
di sisimu tetap hadir sebuah harapan"
dan
tika bersendiri lagi
aku sering menanti kehadirannya
menemani kesepian yang melata.

-adizack ms
jan 1983
tamancempaka, ipoh

Adakalanya

adakalanya
ombak tiba-tiba menggelepar
ke pesisir pantai
keras dan ganas
keras dan ganas
lalu hilang di celah pepasir

di atas hamparan pantai
kulit-kulit siput & karang-karang tajam
tersisa di antara buih-buih ombak

adakalanya
aku tidak dapat lari
dari memijak kulit-kulit siput
dan karang-karang tajam itu
bila tiba-tiba ombak semakin keras
menghempas ke rahang dada
akan bersungailah lurah-lurah kenangan
mengalir ke lembah berdarah
pedih dan hanyir
pedih dan hanyir.

-adizack ms
akhir sept 1983

Telah Terlewat Kiranya

telah terlewat kiranya
segalanya tidak lagi memungkinkan
untuk kita layarkan kembali
bahtera usang pertemuan
di laut kehampaan yang berguncah

telah terlewat kiranya
segalanya telah lama berlalu
ditelan musim-musim garing
dan kita hanya mampu
menerima ketentuanNya

dan aku pun tidak lagi
berdiri di pinggir senja
menghitung usia dan harapan
yang semakin rapuh
kerana aku mengerti kini
bahawa kau tidak akan pernah kembali lagi
ke daerah sepi ini.

-adizack ms
mac 25 1984

Tika Senja Tiba di Pelabuhan

tika senja tiba di pelabuhan
pelangi perlahan-lahan berderai
di ujong ufuk merah tua
wajahmu perlahan-lahan hilang
direnggut kelam yang buta
aku pun perlahan-lahan hanyut
di antara riak ombak ganas

tika senja tiba di pelabuhan
bahtera cinta telah belayar
meredah samudera kelukaan
kelopak-kelopak rindu pun berguguran
ke lurah sepi yang maha dalam
dan secangkir harap telah berkecai
terhempas ke lantai hari.

-adizack ms
senja nov 1984
k.trg

Lembah Berdarah

angin lembut
perlahan-lahan menyusur lurah kenangan
dan adakalanya
kembali menghimpunkan harapan
yang rapuh di atas temulang waktu

lembah berdarah ini
adalah sungai segala luka & derita
ngalirnya deras ke rahang dada
mencengkam segenap akar rasa
merenggut segenap sisa kekuatan
& kini tujuh musim pengap
ke perut waktu
namun pedihnya
teramat payah untuk dileraikan.

-adizack ms
akhir 1984
batuburuk

Sandiwara

waktu terus berarus
mengalir bersama darah hanyir
bersama daki & dedebu kata-kata
bertahun pedihnya mencengkam
menyiat merobekkan rahang dada
sedang hentinya tak pernah pasti

aku lebih rela menganyam sepi
dari terus merintih dan merintih
hingga ketandusan suara
dan airmata.

-adizack ms
1984
k.trg

Thursday, July 3, 2008

Izinkanku

izinkanku abadikan wajahmu di dinding kamar
yang sepi dan terasing ini. meladeni saat-saat
sepi dan rindu yang sering mencengkam. izinkanku
simpan cebisan ulas senyummu sebagai ingatan
bahawa kita pernah bersua di sini. dan relakanlah
ku himpun sinar matamu yang penuh erti menerangi
malam-malam resahku. kerana kau tak mungkin
dapat ku miliki sepenuhnya.

-adizack ms
1984
k.trg

Secebis Kenangan

malam yang suram ini
hanya kenangan kembali mengimbau
& kedinginan membalut diri
mengingatkan pada sebuah mimpi ngeri

kekadang secebis kenangan itu
sudah cukup mengajar erti siksa
& ada waktunya
malam-malam pekat sebegini
mengembalikan diri pada hakikat
bahawa kita hanyalah insan kerdil
di bumi fana ini
mencari hakikat diri
yang sering hilang.

-adizack ms
okt 14 1984
sgterah, guamusang

Runtuh

merenung tiang batu ini
yang dapatku temui hanyalah kekosongan semata
pastinya ia lebih mengerti
tentang kesepeian dan kelukaan
kerana ia telah berabad
berdiri kaku di sini

dan tanpaku sedari
keluhanku telah lerai menjadi debu
di bawa angin petang yang kering
entah ke mana
yang tinggal cuma
tiang batu yang utuh ini
dan aku yang runtuh di sisinya.

-adizack ms
16 okt 1984 11.45pm
6alpha2 smtgmahmud

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails